Saturday, July 19, 2014


Real Time Business Coaching - #AkuMahuBangkit
27 May 2014- Visi & Misi

Visi = perkara yang nak dicapai 
Misi= cara macamana nak capai.

Setiap syarikat wajib mempunyai visi dan misi, dan ramai yang faham apa itu visi dan apa itu misi. Sekadar faham dengan maksud slogan belum mencukupi dan tidak akan menjamin kejayaan, ia perlu disemat dengan ROH dan perlu datang dari hati yang bersungguh-sungguh. Ia perlu mudah dan JELAS serta menyerap disetiap sudut operasi sayarikat. Visi dan Misi juga adalah suatu elemen yang sangat penting dalam membina kumpulan pekerja yang mantap dan membina suasana budaya kerja yang baik. Dalam usaha untuk mencapai objektif atau Visi syarikat kita perlu merangka strategi atau misi yang berkesan bagi merealisasi visi tersebut dengan jaya.

Dalam proses mencari roh dalam visi dan misi, ia bukanlah semudah 'Copy & paste' dari syarikat lain, ini satu kesilapan (pengalaman sendiri pernah buat silap). Kena buat sendiri. Macam mana nak sematkan roh dalam visi dan misi kita?

Perjumpaan pada kali ini Mr Coach telah menerangkan cara atau kaedah bagaimana membentuk nilai Visi dan Misi dalam sesebuah syarikat.. Langkah pertama kita perlu mencari 'VALUE' atau 'NILAI' yang nak diterjemahkan kepada pelanggan melalui produk atau perkhidmatan syarikat. Senaraikan nilai-nilai tersebut. Contoh nilai-nilai dalam perniagaan Western Food saya:

1) Selesa
2) Sedap
3) Bersih
4) Kenyang
5) Berbaloi
6) Pantas

Kemudian pilih 2 atau 3 nilai sahaja yang ingin difokuskan. Tekankan nilai-nilai ini disetiap sudut operasi syarikat, dari mula pelanggan datang sehinggalah pelanggan pulang dengan puas. Sebagai contoh saya akan memilih SELESA, SEDAP & BERBALOI. Nilai-nilai ini akan saya terapkan dalam operasi syarikat saya. Berikut contoh aliran pelanggan datang sehinggalah mereka pulang..

Pelanggan datang - Pastikan tempat letak kereta yang SELESA sebab kebanyakkan sasaran pelanggan baru saya sudah berkeluarga dan mereka datang dengan kereta.
Pastikan tempat duduk yang SELESA dan mencukupi. Persekitaran yang bersih dan SELESA.

Pelanggan order – Senyum dan Ucap 'Selamat datang', Pamerkan menu yang ringkas, jelas, nampak SEDAP dan mudah untuk dibuat pilihan. Beri penerangan yang jelas setiap menu yang ditanya oleh pelanggan (pekerja perlu mahir tentang menu). Ulang semula senarai tempahan dibuat sebagai kepastian. Rekod setiap tempahan dan pastikan nombor order dicatit dan menikut urutan (pelanggan sangat sensitif bila order dilangkau oleh pelanggan yang datang kemudian).

Penyediaan- Pastikan pekerja menyediakan menu dengan baik dan mengikut SOP yang ditetapkan. SEDAP merupakan perkara subjektif. Sasaran saya cukup sekadar 80% pelanggan merasai SEDAP yang dijanjikan dan berpuas hati. Sebab agak mustahil untuk memuaskan hati setiap orang. Pastikan tempoh penyediaan mengikut masa yang ditetapkan, jangan biar pelanggan menunggu lama. Bagi menu minuman, tempoh penyediaan kurang dari 7 minit dan bagi makanan pula kurang dari 20 minit. Jika kita ikut tempoh ini InsyaAllah pelanggan akan SELESA menunggu.

Hantar Hidangan – Pastikan pekerja menghantar menu yang ditempah tepat kepada setiap pelanggan. Masalah ini sering saya hadapi ketika makan di restoran-restoran lain. Jika kita datang berkumpulan biasanya pelayan akan hantar megikut nombor meja dan MELONGGOKKAN sahaja hidangan tersebut di atas meja pandai-pandailah kita untuk bahagikannya Jika anda ke Kiosk saya dan saya akan pastikan apa yang anda minta akan berada betul-betul didepan anda (ambil resmi hotel tanpa perlu tambah kos pun dan impaknya sangat besar). Objektifnya saya mahu anda rasa SELESA dan BERBALOI.

Pembayaran- Pastikan juruwang anda golongan yang bijak mengira. Rekod semua transaksi, kirakan siap-siap sebelum pelanggan datang untuk bayar. Pastikan senarai menu yang ditempah sampai dan dijamah. Beritahu semula senarai yang diingin dibayar dan pastikan jumlahnya betul. Sentiasa menyediakan wang tukar yang cukup. Pastikan juruwang sentiasa berkomunikasi dengan pelanggan, selalu bertanya respon pelangan terhadap menu yang dipilih. Jika ada masalah dengan hidangan jangan sesekali ambil bayaran (jika masalah tersebut tidak ikut kualiti yang dijanjikan dan berani untuk beri 'Money Back Guarantee' ). Semua proses ini bertujuan ingin memberi pelanggan rasa SELESA.

Pelanggan Balik- Kepuasan pelanggan sangat bergantung penuh kepada nilai-nilai yang anda terapkan dan janjikan tadi. Kepuasan pelanggan juga menjadi penanda aras terhadap kualiti yang dijanjikan dan menentukan produk atau servis anda diterima ramai atau tidak. Soalannya..Apakah NILAI atau VALUE yang ditawarkan tadi mencapai kepuasan pelanggan?.Jika pelanggan berpuashati maka dengan sendirinya ROH dalam VISI dan MISI anda akan ujud bersama auranya.

PASTIKAN setiap pekerja anda faham macamana anda faham terhadap VISI dan MISI ini. Jangan ambil mudah dengan VISI dan MISI ini. Terapkan sikap bekerjasama antara pekerja (Teamwork). Beri latihan yang cukup kepada pekerja anda, jangan kedekut keluarkan modal untuk latihan dan memperbaikinya dari masa kesemasa.

Contoh VISI & MISI syarikat saya:

Visi:
Menjadi peneraju Western Food Muslim terbaik di Melaka, memiliki sekurang-kurangnya 5 cawangan pada tahun 2020.

Misi:
Pelanggan adalah prioriti paling atas dan kami akan memberi menu dan servis yang terbaik melalui pengalaman yang SEDAP, SELESA dan BERBALOI. Mewujudkan suasana kerja yang positif, menggalak dan mengiktiraf pekerja melalui kesetiaan, komitmen dan kerja keras.

anda juga dijemput untuk kongsikan Visi dan Misi syarikat anda diruang komen
Real Time Business Coaching - #AkuMahuBangkit
23 April 2014- Ilmu Pemasaran

Setelah beberapa pertemuan dengan Mr Coach baru kali ini ilmu pemasaran diturunkan sedikit demi sedikit. Saya tahu kenapa ilmu ini lambat diturunkan. Jika diimbau zaman awal-awal terjun menjadi usahawan dulu, ilmu pemasaran antara ilmu yang paling awal dicari dan sangat dititikberatkan. Namun sejak berkenalan dengan Mr Coach persepsi terhadap kaedah pemasaran menjadi perkara nombor 2 atau nombor 3. ini bukan bermakna pemasaran itu tidak penting tapi keutamaannya saja dikurangkan.

“ Betulkan perniagaan anda dulu” Mr Coach

Apa yang saya faham, mengamalkan sistem akaun yang baik adalah perkara pokok. Bila sistem akaun syarikat kita baik dan syarkat berada dilandasan yang betul barulah kaedah pemasaran memainkan peranannya.

“ Marketing ni cuma nak bagi tahu produk kita pada bakal pelanggan saja” kenyataan ringkas dari Mr Coach.

Ramai usahawan yang hebat dalam bidang pemasaran sanggup habis ribuan ringgit bagi mempromosi produk namun syarikatnya tetap gagal bertahan akibat dari mengamalkan sistem akaun yang salah atau kurang baik. Bagi menarik hati pelanggan untuk membeli produk kita buat kali pertama agak mudah berbanding usaha untuk mengekalkan pembelian kali ke 2, kali ke 3 dan seterusnya jika tidak mengamal sistem yang betul.

Ramai usahawan tidak menyimpan data penting yang diberi oleh pelanggan kali pertama apatah lagi untuk menganalisa atau memproses maklumat tersebut bagi tujuan penambahbaikan.

Berikut contoh kecuaian pengusaha dalam industri restoran (pengalaman sendiri):

Tidak merekod jualan harian,( tidak pernah tahu jumlah jualan sehari, main agak-agak sahaja)
Tidak merekod jumlah bagi setiap satu menu yang terjual. (tidak tahu menu mana yang paling laris)
Tidak mengira kos sebenar setiap menu yang dijual, ( tidak tahu mana satu menu yang memberi keutungan yang tinggi atau mungkin pengusaha hanya dapat PENAT sahaja)
Tidak mengoptimakan tenaga kerja ( terlebih pekerja - kos meningkat - untung kurang)
Tidak merekod stok bahan mentah dengan betul (terlebih beli atau tidak menggunakannya secara efektif)
Tidak menganalisa data jualan dan pembelian (tidak tahu bisnes ok atau tidak)

Ilmu pemasaran yang diturunkan dalam pertemuan kali ini.

Bunting- Gantung bunting di sekitar kawasan premis, gantungkan sekurang-kurangnya 3 keping berturut-turut di kawasan simpang atau laluan ke arah premis. Cari kawasan perumahan yang padat penduduk.

Buat promosi Buy 2 FREE 1- promosi ini berjalan selama sebulan dan bagi terus ganjaran kepada pelanggan yang datang tidak perlu menuggu 10 pembelian untuk percuma 1 seperti yang kami buat sebelum ini.

Flyers- Edar di pejabat-pejabat, sekolah-sekolah, masjid-masjid, stesyen-stesyen minyak disekitar kawasan perniagaan.

diharap dengan kaedah pemasaran ini dapat menarik ramai pelanggan ke permis kami.



Real Time Business Coaching - #AkuMahuBangkit
23 April 2014- Berfikir Diluar Kotak

Selepas beberapa pertemuan dibuat sebelum ini, Alhamdulillah Mr coach nampak berpuashati dengan task-task yang kami laksanankan. Segala maklumat akaun, maklumat produk, dan prestasi kewangan telah kami utarakan. Cuma pada perjumpaan kali ini pembentangan Unjuran kewangan atau forecast pencapaian perniagaan agak merisaukan.

Memandangkan perniagaan kiosk kami berada hampir dengan pusat pengajian tinggi maka hampir 90% sasaran pelanggan kami adalah pelajar. Masalah akan timbul bila cuti penggal atau cuti-cuti yang mendorong pelajar pulang ke rumah ibu bapa mereka. Sekitar premis akan sunyi sepi. Hampir tiada jualan dibuat pada hari-hari tersebut. Perkara ini berlaku beberapa bulan lamanya. Kalau dikira jumlah hari yang boleh berniaga hanya sekitar 120 hari atau 4 bulan sahaja dalam setahun setelah ditolak dengan cuti semester, cuti umum, cuti study week dan bulan puasa serta cuti raya.

Jika dilihat jangkaan jualan setahun akan datang berpandukan data-data dari tahun lepas, hampir putus asa dibuatnya. “ Jika macam ini situasinya lebih baik tutup saja” bisik hati kecil ini. Akan tetapi kami akur dengan nasihat Mr Coach supaya kami teruskan juga. Mr coach memberi semangat dan tips yang tidak terfikir sebelum ini. Disini cara beliau berfikir luar kotak amat teserlah..hebat

“ Kita ubah segmen pasaran atau tukar target pelanggan. Jangan harapkan pelajar cuba ujudkan pelanggan bukan pelajar. Anggap pelajar sebagai bonus sahaja.” Mr Coach

Berikut saya kongsikan beberapa tips dan panduan yang diberikan:

1. UBAH SASARAN PELANGGAN- Hampir 2 tahun kami berniaga di depan UiTM Lendu, Alor Gajah dan selama itu juga kami hanya bergantung kepada pelajar, seperti rakan-rakan peniaga yang lain lakukan.Hanya mengikut apa orang lain buat. Kami terlupa peduduk sekitar lingkungan 10KM. Mereka perlu ditarik masuk ke premis kami. Lebih 50 ribu penduduk di Parlimen Alor Gajah yang boleh dipujuk menjadi pelanggan.

2. UBAH WAKTU PERNIAGAAN- Dahulu kami beroperasi dari 10am -6pm. Waktu puncak sekitar jam 12.30 tengahhari hingga ke pukul 2 petang. Waktu ini pelajar berpusu-pusu datang, tempahan makanan dan minuman datang serentak. Maka akan timbul kelewatan dalam menyediakan menu tersebut. Masing-masing mengejar masa. Bila lambat peniaga akan dipersalahkan.
Mulai dari 3 Jun 2014 kami akan beroperasi dari 4 pm hingga 11.30pm. Diharap dengan perubahan waktu ini dapat menarik minat penduduk setempat untuk datang selepas waktu kerja tanpa perlu terkejar-kejar.

3. UBAH KONSEP PERNIAGAAN- Dahulu menu yang kami sajikan terdiri dari pelbagai jenis makanan. Bercampur aduk dengan masakan Melayu, Cina dan Barat. Dulu kami beranggapan bahawa lagi pelbagai menu ditawarkan lagi ramai pelanggan yang datang. Ternyata kami silap!. Bila Mr Coach suruh kurangkan menu baru kami paham. Dari 80 menu menjadi 12 menu sahaja. Hasilnya, jualan lebih kurang sama tapi kerja menjadi kurang. Bagi memberi sedikit impak atau jelmaan semangat baru kami akan tonjolkan lebih kepada menu Western Food. InsyaAllah

4. NAIKKAN HARGA- Ini lagi satu keunikkan cara Mr Coach berfikir. Dalam masa kita kekurangan pelanggan harga produk perlu dinaikkan. Apa rasionalnya? Macam ni..Sekiranya dalam sehari anda dapat 100 pelanggan dengan menjual RM5 bagi satu produk jumlah jualan sama dengan RM500. Jika anda naikkan harga RM8 pelanggan akan lari sekitar 20% - 30% (ikut kajian), tapi masih ada lagi 70 orang. Jika 70 orang X RM8 =RM560. Margin anda bertambah, jualan meningkat kerja jadi kurang 30%. Nampak tak permainan dia?

Oleh yang demikian kami akan menstuktur semula harga, kami tidak lagi memberi keistimewaan kepada pelajar sebab anda bukan lagi target pasaran kami. Minta maaf banyak-banyak.

Dengan beberapa perubahan dibuat dan usaha keras yang dilakukan diharap perniagaan kami akan berubah kepada yang lebih baik. Dalam dunia perniagaan tiada salah dan tiada betul. Ia perlu diusaha baru nampak hasilnya. Untung ataupun rugi. Kalau ditakdirkan rugi pun kita masih untung sebab dapat ilmu dan pengalaman baru. Lagi-lagi jika kita masih bersabar. Kalau Untung Alhamdulillah syukur.


Saturday, April 19, 2014

Real Time Business Coaching - Aku Mahu Bangkit
20 Mac 2014- Sebuah kitaran ringkas mendefinasikan makna perniagaan.

Di perjumpaan kali ini juga Mr coach menurunkan sedikit ilmu tapi banyak dan besar maknanya kepada kita sebagai seorang usahawan. Berikut saya kongsikan maklumat tersebut:

BERNILAI-Proses menyediakan sesuatu yang bernilai sama ada produk ataupun perkhidmatan. Kenal pasti sesuatu yang bernilai untuk diutarakan atau dijual kepada pembeli yang PERLU atau TERINGIN dengan nilai tersebut. Dalam proses ini kita perlu juga menilai bagaimana manusia bertindak. bangaimana perilaku pelanggan membuat keputusan.

Kajian menunjukkan bahawa manusia akan bertindak mengikut situasi, cuaca, persekitaran, perilaku, perasaan, kesihatan dan tanggapan. Manusia juga akan akan bertindak dari situasi yang kurang elok, kurang baik kepada yang baik dan elok. Manusia lari dari ketakutan dan beralih kepada situasi yang lebih selesa.

Contoh: bertindak dari keadaan lapar kepada keselesaan menjadi kenyang. maka perkara yang akan mengzahirkan situasi dari lapar kepada menjadi kenyang tersebut perlu ada benda yang benilai iaitu MAKANAN. makanan inilah yang diketegorikan sebagai BERNILAI.

ORANG BELI- Perlu atau teringin berkait rapat dengan perasaan dan tingkah laku. Setiap keputusan perlu melalui perasaan ini. Sekiranya anda dalam keadaan lapar maka perasaan PERLU MAKAN akan ujud dalam fikiran dan mendorong anda akan membuat keputusan untuk membeli makanan.

Teringin juga faktor yang akan medorong anda membuat keputusan. contoh: jika Anda teringin memandu dalam keadaan selesa dan bergaya maka keputusan memiliki kereta mewah akan tersenarai dalam fikiran anda.hanya dua faktor ini saja yang mendorong orang buat keputusan untuk beli.

“Yang PERLU itu kereta dan yang TERINGIN itu BMW”.

SETUJU BAYAR-Selepas PERLU atau TERINGIN dengan Nilai yang ditawarkan dan Harga boleh diterima oleh pelanggan maka urusan pembayaran akan berlaku, akad dimetrai dan produk diterima maka proses jualan sudah dianggap lengkap. Buat pengetahuan semua Hanya Jualan saja baru lengkap kitaran perniagaan masih belum sempurna.

PUAS HATI-Bila produk atau servis memberi kepuasan kepada pelanggan atau tidak memberi kepuasan hati maka ujudlah tahap piawaian dari sumber produk tersebut yang dinamakan KUALITI.

“kualiti = apa yang customer dapat - apa yang anda janjikan” Mr Coach

maknanya setiap produk atau servis yang kita tawarkan atau janjikan mestilah menepati atau mengjangkau kepuasan pelanggan maka produk anda sudah ada kualiti. Kalau janji 10 perkara tapi pelanggan dapat 8 perkara sahaja maka produk anda tidak ada kualiti dimata pelanggan. Kualiti ini sangat subjektif dan sangat sensitif.

ADA UNTUNG-Untung adalah perkara pokok dalam dunia perniagaan, kata orang untung tidak semesti dalam bentuk duit sahaja, boleh jadi dalam bentuk “Good Will”, promosi, branding dan sebagainya. tapi untuk mudah mengira keuntungan maka nilai Wang dijadikan sebagai sandaran. Produk yang ditawarkan MESTI ada untung. kalau tidak ada untung anda masih tidak dianggap berniaga anda hanya buat satu aktiviti jualan sahaja.

Kos Jualan melebihi kos pengeluaran produk = untung.

Proses mengaut untung ini pelengkap bagi satu proses kitaran perniagaan dan akan berpusing sekiranya proses kitaran ini berulang (ada repeat order/sale)

Kesimpulannya, semua perkara dalam kitaran tersebut perlu ada dan WAJIB! jika salah satu proses tiada maka ia tidak dinamakan sebagai PERNIAGAAN.

Demikianlah yang dapat saya kongsikan kepada semua definasi perniagaan yang diturunkan ilmunya kepada kami. Terima kasih Mr Coach.
saya tinggalkan anda dengan kata-kata ringkas dari Mr Coach.
“Perniagaan berjaya = Jumlah belanja kurang sedikit dari jumlah pendapatan”
Real Time Business Coaching: Aku mahu Bangkit

20 Mac 2014- Sistem Akaun yang baik

Hari ini kali dua kami pergi ke Shah Alam untuk membentangkan lapuran tehadap task-task yang kami perlu laksanakan sebelum ini. Perjumpaan kali ini masih lagi berkisar mengenai sistem perakaunan yang baik. Alhamdulillah kami masih diatas landasan yang sepatutnya, namun Mr Coach masih lagi ingin kami memberi penambahbaikan dalam cara merekod maklumat yang penting dan perlu.

“Simplify your Account” atau ringkas akaun anda, ini bukan bermakna kami perlu kurangkan teras akaun itu sendiri. masih wajib ikut cara yang sepatutnya. cuma beberapa maklumat boleh diringkaskan dengan membuat beberapa perubahan dalam bentuk fomula. Proses ini memang rumit untuk dibuat pada peringkat awal namun pasti akan memudahkan bila ianya sudah lengkap. Beban kerja boleh berkurangan sehingga 60%.

Setiap produk perlu ada formula dalam pengiraan bahan-bahan mentah dan asingkan stok bahan mentah untuk setiap produk ini bagi memudahkan pengawalan inventori. Sebagai contoh bagi produk Nasi goreng- buatkan formula berapa penggunaan bahan mentah bagi setiap pinggan dan cari kos bahan mentah tersebut.

Merujuk kepada task sebelum ini, kami perlu mencatat berapa jualan bagi setiap produk terjual dalam sehari. Ya setiap produk. Kumpulkan maklumat untuk seminggu dan sebulan. Senaraikan produk yang kurang sambutan dan nyahkan dari senarai menu. Fokuskan pada produk yang laku sahaja. Bila sudah dapat maklumat, senang untuk kita anggarkan modal yang perlu ada dalam sehari, seminggu dan sebulan. Kita hanya memasukan jumlah pinggan yang dianggarkan terjual dalam minggu tersebut (mengikut trend data yang dikumpul) formula akan kirakan jumlah kos dan bahan yang perlu disediakan bagi minggu tersebut.

Secara tak langsung anda juga boleh menganggarkan berapa pendapatan dalam seminggu dan seterusnya mengawal ruang penipuan daripada pekerja. Sebagai contoh stok bahan nasi goreng habis untuk 1000 pinggan dalam seminggu tapi anda dapat data jualan hanya 800 pinggan. Ini bermakna ada kehilangan disitu. jadi apa yang harus anda lakukan?. (nanti akan saya kupaskan dilain entri-masalah pekerja)

Contoh diatas merupakan sebahagian contoh yang kecil, namun boleh dilaksana bagi setiap jenis perniagaan dan boleh dipraktiskan keseluruh perjalanan perniagaan anda mengikut kesesuaiannya tersendiri. dengan mengamal PERAKAUNAN YANG BAIK anda boleh mentafsir hala tuju syarikat, boleh menjangka pertumbuhan syarikat, meramal revenue serta mengagak situasi bila jualan akan turun, bila kos modal bertambah,bila perlu menambah pekerja dan sebagainya.

Bagi yang belum mengamalkan sistem akaun yang baik, dah ada tapi akauntan anda saja yang mahir, maka mari kita berubah. Saya sendiri leka. selama 6 tahun berniaga baru sekarang nampak dengan jelas kepentingan sistem akaun ini. dulu sekadar tahu sahaja. Mari sama-sama kita amalkan.

Task untuk pertemuan kali ini, Mr Coach memberi task yang baru, kami perlu memahami apa itu Balance Sheet, Cash Flow, P&L dan Income Statment dengan jelas.

“MASALAH perniagaan banyak berpunca dari KEGAGALAN usahawan menyedia, mengambil tahu, memahami dan mempratikkan SISTEM AKAUN YANG BAIK” Mr Coach.
Real Time Business Coaching - Aku Mahu Bangkit 
11 Feb 2014 -Pekerja dan Kerenahnya.

Pekerja merupakan faktor yang sangat penting dalam sesebuah syarikat untuk terus maju. Kegagalan kita mengawal atau mengurus pekerja akan menjejas prestasi syarikat dan besar kemungkinan boleh menyebabkan kita gulung tikar atau bungkus.

masalah pekerja sering kali menjadi isu utama, terutama kepada syarikat-syarikat kecil seperti restoran, kedai runcit, kedai cuci kereta dan sebagainya. Dah la mendapatkan pekerja satu hal, nak mejaganya pun satu hal lagi. Disebabkan susah nak dapat pekerja, ramai yang masih menyimpan 'biawak hidup' dalam syarikat. Takut nak buang staff yang bermasalah dengan anggapan masih boleh membantu tapi hakikatnya hari-hari kita bad mood melayan kerenah mereka.

Saya pun menghadapi masalah yang sama tetapi setelah berjumpa dengan Mr Coach, baru nampak apa yang perlu dibuat. Saya dah buat apa yang disarankan. Disebabkan nasihat dan tekanan, pekerja yang bermasalah keluar dengan sendirinya. Alahmdulillah perjalanan kiosk saya bertambah baik..berikut saya kongsikan amanat beliau.

" Hanya ada 4 kategori pekerja atau orang bawahan:

1.Berkemahiran tinggi dan sikap amat cemerlang
2.Kerkemahiran tinggi dan bersikap buruk teramat
3.Berkemahiran rendah dan sikap cemerlang
4.Berkemahiran rendah dan bersikap buruk teramat

Dalam ke empat-empat jenis yang disebutkan di atas, orang yang anda perlu terajang keluar atau berikan surat amaran keras untuk berubah adalah mereka yang berada di dalam kategori yang ke-4.

Jika anda yang sedang membaca ini merupakan seorang pekerja yang ada boss atau ada taukeh diatasnya. Segera buat analisa samada anda berada di dalam kategori ke-4 yang saya sebutkan di atas.
Jika betul, anda dalam keadaan merbahaya kerana sudahlah tidak punya kemahiran atau keupayaan yang baik, malah bersikap negatif, tak dengar cakap, degil dan seribu satu macam perangai buruk lagi.

Jika anda jadi boss, anda sendiri akan menerajang orang seperti itu keluar dari syarikat jika tidak mahu terus menerus membayar gaji buta padanya.

Belai dengan baik kumpulan ini..
Matlamat taukeh atau boss adalah untuk meletakkan semua pekerjanya berada di dalam kategori pertama. Syarikat yang punyai pekerja dalam kategori tersebut paling ramai akan menyaksikan peningkatan memuncak dan boss tidak perlu membuang masa mengambil kursus motivasi orang.

Apa yang boss perlu lakukan adalah bina dan bantu sebaik mungkin pekerja hebat anda tersebut dan berikan mereka segala peluang yang ada untuk meningkatkan kedudukan mereka. Jika anda tidak jaga mereka dengan baik, ramai orang diluar bersedia untuk mengambil kumpulan ini.

Periksa kumpulan ke-3..
Bagi mereka yang berada di dalam kategori ke-3, berkemungkinan anda salah letak mereka bukan pada tempatnya. Sila periksa jika anda salah guna kemahiran yang dia ada dan ubah. Sikapnya yang cemerlang akan sentiasa membantu dirinya sendiri untuk maju. Jika dia perlukan latihan, jangan kemut duit untuk memberikannya.

Berhati-hati dengan kumpulan ke-2..
Bagi mereka dalam kumpulan kedua, kadangkala mereka adalah jenis yang perasan bagus dan merasakan diri sentiasa hebat dan mereka memnag hebat cuma tidak ada kerjasama dan sukar diuruskan. Anda boleh asingkan jenis ini pada kerja tidak berkumpulan atau hantar ke summer camp untuk pulihkan perangai buruk tersebut.

Jika perangainya tidak berbaloi, elok nasihatkan dia cari kerja lain. Kebiasannya pemergian orang dari kumpulan kedua ini akan banyak melegakan mereka yang berada dikumpulan pertama. Kerana selama ini mereka sentiasa menjadi mangsa….

Peringatan!!!
Sekali lagi, semak dan pastikan agar anda tidak berada di dalam kumpulan ke-4, atau anda akan diterajang keluar…." Suber dari Hidup Ringkas


Bagaimana nak IKLAN restoran anda secara PERCUMA?

Bila pelanggan yang puashati meninggalkan restoran tuan-tuan, mereka akan menyebarkan maklumat positif kepada kawan-kawan dan keluarga mereka. Orang lebih yakin dengan apa yang didengar melalui kenalan atau keluarga mereka kerana sumber ini sangat boleh dipercayai dan mempengaruhi. Lumrahnya orang lebih seronok berkongsi benda yang dia suka kepada orang lain.
Untuk mendapatkan kepuasan pelaggan, Perkara ini perlu dipupuk secara konsisten oleh anda sebagai pengusaha atau pengurus. Perlu diterapkan juga kepada pekerja dan jadikannya sebagai tabiat.

Berikut beberapa cara yang efektif untuk membuat pelanggan anda suka dan datang ke restoran anda seterusnya menyebarkan kepada kawan-kawan.

1.Sambut tetamu dengan Salam atau ucap selamat datang kepada setiap pelanggan yang masuk ke restoran tuan-taun.

2.wujudkan suasana positif dengan senyuman dan layanan yang ikhlas.

3.Latih pekerja tuan-tuan cara melayan pelanggan dengan baik dan jadikan sebagai SOP restoran.

4.Pengurus perlu menyapa setiap meja dan tanya pelanggan adakah mereka puashati dengan layanan.

5.Pengurus perlu memastikan suasana persekitaran restoran bersih, tersusun dan kemas.

6.Pengurus yang bertugas perlu pantas dan proakttif menangani sesuatu masalah dengan pelanggan.

7.Ucapkan “Terima kasih” dan “Sila datang lagi” setiap kali pelanggan buat pembayaran dan sewaktu mereka beredar.

semua diatas adalah contoh iklan yang anda buat tanpa sedar dan tanpa media fizikal

Sekiranya perkara diatas diamalkan secara rutin, saya yakin restoran tuan-tuan akan terkenal dengan cepat. Tetapi jika sebaliknya tuan-tuan mengamalkan perkara yang bertentangan dengan diatas keburukan atau perkara negatif juga akan cepat terkenal. Gossip yang negatif akan jadi pembunuh kepada restoran anda.