Saturday, April 19, 2014

Real Time Business Coaching - Aku Mahu Bangkit
20 Mac 2014- Sebuah kitaran ringkas mendefinasikan makna perniagaan.

Di perjumpaan kali ini juga Mr coach menurunkan sedikit ilmu tapi banyak dan besar maknanya kepada kita sebagai seorang usahawan. Berikut saya kongsikan maklumat tersebut:

BERNILAI-Proses menyediakan sesuatu yang bernilai sama ada produk ataupun perkhidmatan. Kenal pasti sesuatu yang bernilai untuk diutarakan atau dijual kepada pembeli yang PERLU atau TERINGIN dengan nilai tersebut. Dalam proses ini kita perlu juga menilai bagaimana manusia bertindak. bangaimana perilaku pelanggan membuat keputusan.

Kajian menunjukkan bahawa manusia akan bertindak mengikut situasi, cuaca, persekitaran, perilaku, perasaan, kesihatan dan tanggapan. Manusia juga akan akan bertindak dari situasi yang kurang elok, kurang baik kepada yang baik dan elok. Manusia lari dari ketakutan dan beralih kepada situasi yang lebih selesa.

Contoh: bertindak dari keadaan lapar kepada keselesaan menjadi kenyang. maka perkara yang akan mengzahirkan situasi dari lapar kepada menjadi kenyang tersebut perlu ada benda yang benilai iaitu MAKANAN. makanan inilah yang diketegorikan sebagai BERNILAI.

ORANG BELI- Perlu atau teringin berkait rapat dengan perasaan dan tingkah laku. Setiap keputusan perlu melalui perasaan ini. Sekiranya anda dalam keadaan lapar maka perasaan PERLU MAKAN akan ujud dalam fikiran dan mendorong anda akan membuat keputusan untuk membeli makanan.

Teringin juga faktor yang akan medorong anda membuat keputusan. contoh: jika Anda teringin memandu dalam keadaan selesa dan bergaya maka keputusan memiliki kereta mewah akan tersenarai dalam fikiran anda.hanya dua faktor ini saja yang mendorong orang buat keputusan untuk beli.

“Yang PERLU itu kereta dan yang TERINGIN itu BMW”.

SETUJU BAYAR-Selepas PERLU atau TERINGIN dengan Nilai yang ditawarkan dan Harga boleh diterima oleh pelanggan maka urusan pembayaran akan berlaku, akad dimetrai dan produk diterima maka proses jualan sudah dianggap lengkap. Buat pengetahuan semua Hanya Jualan saja baru lengkap kitaran perniagaan masih belum sempurna.

PUAS HATI-Bila produk atau servis memberi kepuasan kepada pelanggan atau tidak memberi kepuasan hati maka ujudlah tahap piawaian dari sumber produk tersebut yang dinamakan KUALITI.

“kualiti = apa yang customer dapat - apa yang anda janjikan” Mr Coach

maknanya setiap produk atau servis yang kita tawarkan atau janjikan mestilah menepati atau mengjangkau kepuasan pelanggan maka produk anda sudah ada kualiti. Kalau janji 10 perkara tapi pelanggan dapat 8 perkara sahaja maka produk anda tidak ada kualiti dimata pelanggan. Kualiti ini sangat subjektif dan sangat sensitif.

ADA UNTUNG-Untung adalah perkara pokok dalam dunia perniagaan, kata orang untung tidak semesti dalam bentuk duit sahaja, boleh jadi dalam bentuk “Good Will”, promosi, branding dan sebagainya. tapi untuk mudah mengira keuntungan maka nilai Wang dijadikan sebagai sandaran. Produk yang ditawarkan MESTI ada untung. kalau tidak ada untung anda masih tidak dianggap berniaga anda hanya buat satu aktiviti jualan sahaja.

Kos Jualan melebihi kos pengeluaran produk = untung.

Proses mengaut untung ini pelengkap bagi satu proses kitaran perniagaan dan akan berpusing sekiranya proses kitaran ini berulang (ada repeat order/sale)

Kesimpulannya, semua perkara dalam kitaran tersebut perlu ada dan WAJIB! jika salah satu proses tiada maka ia tidak dinamakan sebagai PERNIAGAAN.

Demikianlah yang dapat saya kongsikan kepada semua definasi perniagaan yang diturunkan ilmunya kepada kami. Terima kasih Mr Coach.
saya tinggalkan anda dengan kata-kata ringkas dari Mr Coach.
“Perniagaan berjaya = Jumlah belanja kurang sedikit dari jumlah pendapatan”
Real Time Business Coaching: Aku mahu Bangkit

20 Mac 2014- Sistem Akaun yang baik

Hari ini kali dua kami pergi ke Shah Alam untuk membentangkan lapuran tehadap task-task yang kami perlu laksanakan sebelum ini. Perjumpaan kali ini masih lagi berkisar mengenai sistem perakaunan yang baik. Alhamdulillah kami masih diatas landasan yang sepatutnya, namun Mr Coach masih lagi ingin kami memberi penambahbaikan dalam cara merekod maklumat yang penting dan perlu.

“Simplify your Account” atau ringkas akaun anda, ini bukan bermakna kami perlu kurangkan teras akaun itu sendiri. masih wajib ikut cara yang sepatutnya. cuma beberapa maklumat boleh diringkaskan dengan membuat beberapa perubahan dalam bentuk fomula. Proses ini memang rumit untuk dibuat pada peringkat awal namun pasti akan memudahkan bila ianya sudah lengkap. Beban kerja boleh berkurangan sehingga 60%.

Setiap produk perlu ada formula dalam pengiraan bahan-bahan mentah dan asingkan stok bahan mentah untuk setiap produk ini bagi memudahkan pengawalan inventori. Sebagai contoh bagi produk Nasi goreng- buatkan formula berapa penggunaan bahan mentah bagi setiap pinggan dan cari kos bahan mentah tersebut.

Merujuk kepada task sebelum ini, kami perlu mencatat berapa jualan bagi setiap produk terjual dalam sehari. Ya setiap produk. Kumpulkan maklumat untuk seminggu dan sebulan. Senaraikan produk yang kurang sambutan dan nyahkan dari senarai menu. Fokuskan pada produk yang laku sahaja. Bila sudah dapat maklumat, senang untuk kita anggarkan modal yang perlu ada dalam sehari, seminggu dan sebulan. Kita hanya memasukan jumlah pinggan yang dianggarkan terjual dalam minggu tersebut (mengikut trend data yang dikumpul) formula akan kirakan jumlah kos dan bahan yang perlu disediakan bagi minggu tersebut.

Secara tak langsung anda juga boleh menganggarkan berapa pendapatan dalam seminggu dan seterusnya mengawal ruang penipuan daripada pekerja. Sebagai contoh stok bahan nasi goreng habis untuk 1000 pinggan dalam seminggu tapi anda dapat data jualan hanya 800 pinggan. Ini bermakna ada kehilangan disitu. jadi apa yang harus anda lakukan?. (nanti akan saya kupaskan dilain entri-masalah pekerja)

Contoh diatas merupakan sebahagian contoh yang kecil, namun boleh dilaksana bagi setiap jenis perniagaan dan boleh dipraktiskan keseluruh perjalanan perniagaan anda mengikut kesesuaiannya tersendiri. dengan mengamal PERAKAUNAN YANG BAIK anda boleh mentafsir hala tuju syarikat, boleh menjangka pertumbuhan syarikat, meramal revenue serta mengagak situasi bila jualan akan turun, bila kos modal bertambah,bila perlu menambah pekerja dan sebagainya.

Bagi yang belum mengamalkan sistem akaun yang baik, dah ada tapi akauntan anda saja yang mahir, maka mari kita berubah. Saya sendiri leka. selama 6 tahun berniaga baru sekarang nampak dengan jelas kepentingan sistem akaun ini. dulu sekadar tahu sahaja. Mari sama-sama kita amalkan.

Task untuk pertemuan kali ini, Mr Coach memberi task yang baru, kami perlu memahami apa itu Balance Sheet, Cash Flow, P&L dan Income Statment dengan jelas.

“MASALAH perniagaan banyak berpunca dari KEGAGALAN usahawan menyedia, mengambil tahu, memahami dan mempratikkan SISTEM AKAUN YANG BAIK” Mr Coach.
Real Time Business Coaching - Aku Mahu Bangkit 
11 Feb 2014 -Pekerja dan Kerenahnya.

Pekerja merupakan faktor yang sangat penting dalam sesebuah syarikat untuk terus maju. Kegagalan kita mengawal atau mengurus pekerja akan menjejas prestasi syarikat dan besar kemungkinan boleh menyebabkan kita gulung tikar atau bungkus.

masalah pekerja sering kali menjadi isu utama, terutama kepada syarikat-syarikat kecil seperti restoran, kedai runcit, kedai cuci kereta dan sebagainya. Dah la mendapatkan pekerja satu hal, nak mejaganya pun satu hal lagi. Disebabkan susah nak dapat pekerja, ramai yang masih menyimpan 'biawak hidup' dalam syarikat. Takut nak buang staff yang bermasalah dengan anggapan masih boleh membantu tapi hakikatnya hari-hari kita bad mood melayan kerenah mereka.

Saya pun menghadapi masalah yang sama tetapi setelah berjumpa dengan Mr Coach, baru nampak apa yang perlu dibuat. Saya dah buat apa yang disarankan. Disebabkan nasihat dan tekanan, pekerja yang bermasalah keluar dengan sendirinya. Alahmdulillah perjalanan kiosk saya bertambah baik..berikut saya kongsikan amanat beliau.

" Hanya ada 4 kategori pekerja atau orang bawahan:

1.Berkemahiran tinggi dan sikap amat cemerlang
2.Kerkemahiran tinggi dan bersikap buruk teramat
3.Berkemahiran rendah dan sikap cemerlang
4.Berkemahiran rendah dan bersikap buruk teramat

Dalam ke empat-empat jenis yang disebutkan di atas, orang yang anda perlu terajang keluar atau berikan surat amaran keras untuk berubah adalah mereka yang berada di dalam kategori yang ke-4.

Jika anda yang sedang membaca ini merupakan seorang pekerja yang ada boss atau ada taukeh diatasnya. Segera buat analisa samada anda berada di dalam kategori ke-4 yang saya sebutkan di atas.
Jika betul, anda dalam keadaan merbahaya kerana sudahlah tidak punya kemahiran atau keupayaan yang baik, malah bersikap negatif, tak dengar cakap, degil dan seribu satu macam perangai buruk lagi.

Jika anda jadi boss, anda sendiri akan menerajang orang seperti itu keluar dari syarikat jika tidak mahu terus menerus membayar gaji buta padanya.

Belai dengan baik kumpulan ini..
Matlamat taukeh atau boss adalah untuk meletakkan semua pekerjanya berada di dalam kategori pertama. Syarikat yang punyai pekerja dalam kategori tersebut paling ramai akan menyaksikan peningkatan memuncak dan boss tidak perlu membuang masa mengambil kursus motivasi orang.

Apa yang boss perlu lakukan adalah bina dan bantu sebaik mungkin pekerja hebat anda tersebut dan berikan mereka segala peluang yang ada untuk meningkatkan kedudukan mereka. Jika anda tidak jaga mereka dengan baik, ramai orang diluar bersedia untuk mengambil kumpulan ini.

Periksa kumpulan ke-3..
Bagi mereka yang berada di dalam kategori ke-3, berkemungkinan anda salah letak mereka bukan pada tempatnya. Sila periksa jika anda salah guna kemahiran yang dia ada dan ubah. Sikapnya yang cemerlang akan sentiasa membantu dirinya sendiri untuk maju. Jika dia perlukan latihan, jangan kemut duit untuk memberikannya.

Berhati-hati dengan kumpulan ke-2..
Bagi mereka dalam kumpulan kedua, kadangkala mereka adalah jenis yang perasan bagus dan merasakan diri sentiasa hebat dan mereka memnag hebat cuma tidak ada kerjasama dan sukar diuruskan. Anda boleh asingkan jenis ini pada kerja tidak berkumpulan atau hantar ke summer camp untuk pulihkan perangai buruk tersebut.

Jika perangainya tidak berbaloi, elok nasihatkan dia cari kerja lain. Kebiasannya pemergian orang dari kumpulan kedua ini akan banyak melegakan mereka yang berada dikumpulan pertama. Kerana selama ini mereka sentiasa menjadi mangsa….

Peringatan!!!
Sekali lagi, semak dan pastikan agar anda tidak berada di dalam kumpulan ke-4, atau anda akan diterajang keluar…." Suber dari Hidup Ringkas


Bagaimana nak IKLAN restoran anda secara PERCUMA?

Bila pelanggan yang puashati meninggalkan restoran tuan-tuan, mereka akan menyebarkan maklumat positif kepada kawan-kawan dan keluarga mereka. Orang lebih yakin dengan apa yang didengar melalui kenalan atau keluarga mereka kerana sumber ini sangat boleh dipercayai dan mempengaruhi. Lumrahnya orang lebih seronok berkongsi benda yang dia suka kepada orang lain.
Untuk mendapatkan kepuasan pelaggan, Perkara ini perlu dipupuk secara konsisten oleh anda sebagai pengusaha atau pengurus. Perlu diterapkan juga kepada pekerja dan jadikannya sebagai tabiat.

Berikut beberapa cara yang efektif untuk membuat pelanggan anda suka dan datang ke restoran anda seterusnya menyebarkan kepada kawan-kawan.

1.Sambut tetamu dengan Salam atau ucap selamat datang kepada setiap pelanggan yang masuk ke restoran tuan-taun.

2.wujudkan suasana positif dengan senyuman dan layanan yang ikhlas.

3.Latih pekerja tuan-tuan cara melayan pelanggan dengan baik dan jadikan sebagai SOP restoran.

4.Pengurus perlu menyapa setiap meja dan tanya pelanggan adakah mereka puashati dengan layanan.

5.Pengurus perlu memastikan suasana persekitaran restoran bersih, tersusun dan kemas.

6.Pengurus yang bertugas perlu pantas dan proakttif menangani sesuatu masalah dengan pelanggan.

7.Ucapkan “Terima kasih” dan “Sila datang lagi” setiap kali pelanggan buat pembayaran dan sewaktu mereka beredar.

semua diatas adalah contoh iklan yang anda buat tanpa sedar dan tanpa media fizikal

Sekiranya perkara diatas diamalkan secara rutin, saya yakin restoran tuan-tuan akan terkenal dengan cepat. Tetapi jika sebaliknya tuan-tuan mengamalkan perkara yang bertentangan dengan diatas keburukan atau perkara negatif juga akan cepat terkenal. Gossip yang negatif akan jadi pembunuh kepada restoran anda.